Saya memang gemar sangat dengan kuih Seri Muka ni atau dikenali sebagai Pulut Sekaya bagi mereka yang berasal dari Utara (Negeri Kedah). Kalau makan kuih ni, biasanya saya akan makan bahagian pulut dulu... bahagian atas tu akan makan lambat sikit supaya dpt 'feel' rasa santan ....
Biasanya selalu nampak kuih Seri Muka yang dikukus dalam bekas loyang. Tapi kali ni, disebabkan malas nak potong-potong... saya buat siap-siap dalam acuan lompang, supaya senang nak makan.
Selepas masukkan dan tekan pulut dan jagung (yang telah dimasak) ke dalam bekas acuan tu, barulah saya tuangkan bancuhan lapisan atas.Kemudian, masukkan ke dalam periuk kukus.
Kuih Seri Muka ( Pulut Sekaya )
Bahan-bahan (anggaran untuk 45 bekas acuan lompang bersaiz kecil)
Bahan-bahan untuk Lapisan Bawah :
400g beras pulut putih (di rendam selama 3 jam)
400g santan cair (sama dengan sukatan pulut) , saya gunakan santan dalam kotak brand KARA.
1 sudu teh garam
2 helai daun pandan
Cara-cara membuatnya:
- Bersihkan dan toskan beras pulut sehingga air kering.
- Masukkan ke dalam loyang yang dialas dengan plastik, kemudian sapukan sedikit minyak masak di sekeliling Loyang.
- Masukkan santan cair dan garam ke dalam loyang.
- Kemudian, tuangkan beras pulut. Santan dan pulut mestilah pada paras yang sama tinggi.
- Gaul sebati. (Boleh letakkan daun pandan untuk aroma pandan pada pulut )
- Kukus selama 45 - 50 minit. Sekali-sekala hendaklah dikacau supaya pulut masak dengan lebih rata. *Jika malas nak guna periuk kukus, boleh masak pulut guna periuk nasi elektrik.
- Selepas pulut/jagung dimasak, masukkan pulut/jagung ke dalam bekas acuan lompang yang bersaiz kecil (Sapukan acuan lompang dengan sedikit minyak/marjerin). Masukkan pulut anggaran dalam 18gram - 20 gram untuk setiap bekas acuan.
- Tekan pulut/jagung supaya jadi lebih padat.
Bahan-bahan utk Lapisan Atas :
430g santan pekat, saya gunakan santan dalam kotak brand KARA.150ml air + 10 – 12 helai daun pandan ( dikisar dan ditapis untuk dijadikan air pandan)
80g Tepung Gandum
14g Tepung Hoen Kwee (warna hijau)
100g gula caster
1 biji Telur Gred A
1 sudu teh garam
Cara-cara membuatnya :
- Pukul telur dan gula caster. (gunakan whisker)
- Masukkan tepung gandum, tepung hoen kwee (warna hijau), garam dan santan pekat.
- Selepas itu masukkan air pandan (150ml).
- Kacau sehingga rata dan sekata dengan menggunakan whisker.
- Tapis adunan tersebut untuk pastikan tiada bintilan dalam adunan.
- Kemudian tuangkan adunan ke atas pulut yang telah ditekan dalam bekas acuan lompang.
- Kukus semula selama 15-20 minit atau sehingga masak.
*Balut penutup periuk kukus dengan aluminium foil, tuala atau kain bersih supaya air kukusan tidak menitik atas permukaan kuih.
0 comments